Wed | Oct 08, 08 | 10:57:21 am MYT
Hari ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadualkan membuat pengumuman mengenai kedudukannya sama ada beliau akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden Umno atau tidak.
Abdullah, kini, sedang menghadapi krisis pendirian yang amat mencabar, iaitu sama ada mengundurkan secara terhormat, setelah melalui pelbagai kecaman dan desakan dari akar umbi Umno sejak 8 Mac lepas atau diundurkan secara memalukan dengan tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk melayakkannya mempertahankan jawatan.Khabarnya sudah beberapa kali Abdullah sudah 'tidak tahan' akibat desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno, sekaligus jawatan PM dari kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno.
Ada yang mengkhabarkan, gambaran situasi tekanan yang dihadapi, minda dan jiwa Abdullah tertekan sehingga beliau menangis kecewa dengan sikap pihak-pihak tertentu dalam Umno yang memperlakukan beliau sedemikian rupa.
Di saat Abdullah masih berkuasa sebagai PM dan Presiden Umno, orang-orang Umno bukan sahaja memperlekehkan beliau, malah beberapa kali 'memulaukannya' dalam beberapa majlis anjuran parti itu.
Ada kawan-kawan memberitahu selepas mesyuarat MT di bulan Ramadan lepas, diadakan majlis berbuka puasa di PWTC, tiada pemimpin-pemimpin kanan Umno yang 'sudi' duduk bersama semeja dengan Abdullah.
Di kalangan wartawan yang membuat liputan pada petang itu agak terkejut, apabila melangkah ke dewan (menjelang waktu berbuka puasa), keadaan masih lengang, hanya ada seorang dua sahaja yang duduk berbual dengan Abdullah.
"Kasihan tengok PM menunggu orang datang, sambil tersenyum 'macam kerang busuk' seorang diri.
"Pemimpin-pemimpin yang lain ketika itu tak tau ke mana, agaknya dengan Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak) kut," dakwa seorang wartawan agensi asing.
Inilah perangai orang Umno, belum pun Abdullah meletakkan jawatan, beliau sudah 'dizalimi' sedemikian rupa.
Sama seperti dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya dua minggu selepas beliau meletakkan jawatan, tiada seorang pun rakan kabinet, khususnya daripada Umno yang mahu mendekati beliau.
Abdullah, kini sudah merasa dan mengalami tekanan jiwa dan perasaan akibat perangai busuk orang-orang Umno. Beliau baru menyedari bahawa sokongan yang diterima selama ini adalah 'fragile'.
Akibat daripada itu Abdullah sudah beberapa kali berhasrat melepaskan jawatan, dan beberapa kali membuat pengumuman beliau akan berundur.
Khabarnya setiap kali menerima tekanan, Abdullah akan balik dengan penuh hiba, namun setibanya di rumah, selepas berbincang dengan anggota keluarga dan kroni rapat, Abdullah mengubah pendirian untuk bertanding mengekalkan jawatan.
"Petang ini beliau dengan perasaan yang amat lemah mengumumkan hasrat untuk berundur, esok pagi, selepas mendapat 'suntikan' keluarga, beliau akan kembali segar dan mengubah pendirian semalam," komen seorang penganalisis.
Faktor utama kegagalan Abdullah
Sukar dielakkan wujud persepsi, antara 'failure' besar Abdullah yang dikritik orang-orang Umno ialah 'beliau tiada pendirian, malah mentadbir negara dan parti dengan pengaruh keluarga dan kroni.'
Oleh sebab itu ada yang berpendapat, orang-orang Umno mendesak Abdullah melepaskan jawatan segera atas dakwaan 'demi kepentingan parti dan negara', sebaliknya Abdullah dipujuk untuk terus berkuasa 'demi kepentingan keluarga dan kroni.'
Sejauhmana kebenaran dakwaan ini, sebenarnya ada pada penilaian orang-orang Umno sendiri, di mana, kini, pertembungan puak-puak pro dan anti Abdullah semakin tajam.
Di saat-saat terakhir ini, banyak usaha-usaha terdesak dilakukan oleh kumpulan penyokong Abdullah, khususnya yang diketuai Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memberikan gambaran yang 'meyakinkan' kembali pendirian Abdullah yang sudah goyah.
Satu sahaja kerisauan Khairy. Jika Abdullah tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno, maka tiada sebab Abdullah mampu kekal sebagai PM yang tiada kuasa dalam parti.
Jika Abdullah tidak lagi Presiden Umno, peluangnya untuk memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno akan terkubur, malah, mungkin juga karier politiknya akan terus dikuburkan.
Demi kepentingan politik kepuakan dan peribadi, sudah wujud ramai 'pengali-pengali kubur' dalam Umno untuk 'menguburkan' politik Abdullah dan keluarganya.
Jika Abdullah tidak memegang jawatan sebagai PM, beliau tidak ada kuasa di Khazanah, maka habislah Khairy dan Kamaludin dan segala perniagaan mereka.
Malah yang dicongak sekarang ialah bagaimana masa depan Scomi, ECM-Libra, Equine Capital dan pelbagai syarikat yang dikuasai kroni, yang selama ini membolot projek-projek besar dalam negara.
Nilai projek-projek tersebut amat besar. Bukannya ratusan juta. Malah ianya dinilaikan berpuluh bilion.
Yang amat dikhuatiri oleh Kamaludin, Khairy, kroni dan keluarganya ialah, jika Abdullah tidak lagi menjadi PM, semua legasi yang dibina ini sudah tentu akan hancur dan 'terkubur' sebagaimana 'terkuburnya' masa depan politik Abdullah.
Tekanan demi tekanan diterima Abdullah, belum lagi diambil kira gesaan anggota komponen Barisan Nasional yang semakin hilang kepercayaan terhadap beliau sebagai PM dan Pengerusi BN.
Sudah tentu Abdullah tidak boleh menerima hakikat bahawa, di suatu ketika, beliau 'ditabalkan' sebagai PM dan Presiden Umno dalam suasana yang penuh gilang gemilang, sebaliknya diundurkan dengan penuh kehinaan.
Percaturan getir Abdullah
Dalam usaha terakhir Khairy dan kroni, mereka cuba mengemukakan 'numbers' kepada Abdullah.
Mereka menunjukkan kepadanya supaya beliau yakin bahawa beliau akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk dicalonkan semula sebagai Presiden Umno.
Bagi Abdullah, kegagalannya mendapatkan persetujuan Najib untuk berkompromi sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno, merupakan suatu 'malapetaka besar' dalam kariernya.
Beliau sedar, akar umbi Umno mahukan regu Najib-Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
Jika Persidangan Umno Bahagian, bermula Jumaat ini tidak mencalonkan beliau, malah mencalonkan Najib sebagai Presiden, ianya merupakan tempelak yang paling besar baginya.
Usaha mendapatkan kuota yang cukup dari 58 bahagian atau 30 peratus suatu hal. Bagaimana jika selepas semua pencalonan dilakukan, beliau tidak melepas kuota?
Maka ada congakan cuba dibuat untuk meletakkan Dato' Ahmad Zahid Hamidi sebagai regunya. Sejak beberapa tahun ini, khabarnya Zahid tidak lagi 'ngam' dengan kumpulan Najib, beliau khabarnya lebih rapat dengan Khairy.
Malah, ada yang mengatakan beliau memperolehi jawatan Menteri di JPM pun kerana 'dealnya' dengan Khairy.
Persoalannya di sini, apakah regu Abdullah-Zahid mampu bertembung dengan regu Najib-Muhyiddin?
Abdullah sedang berteka-teki dengan perasaan beliau sekarang, jika berundur dengan penuh hormat sekalipun, masa depan politik dan perniagaan anak beranaknya diperjudikan.
Jika bertempur dengan Najib serta gerombolan, kemungkinan besar beliau akan tewas 'sebagai anak jantan', tetapi dijatuhkan dengan penuh kehinaan oleh orang-orang Umno.
Inilah percaturan yang paling getir buat Abdullah. 'Membujur lalu, melintang patah'.
Dalam apa keadaan pun sekarang ini, Umno tetap berpecah. Abdullah kekal pun Umno berpecah, Abdullah jatuh pun Umno akan berpecah juga.
Dalam apa situasi pun, hakikatnya masa depan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, sedang diperjudikan oleh pemimpin-pemimpin Umno. - mks. _
1 comment:
POK LOH BENGONG
Post a Comment